Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

Sunday, 18 January 2009

Sistem kewangan berasas emas lebih adil, jujur

Nilai logam sukar dimanipulasi, spekulasi sesuai dengan Islam mahu keadilan dalam urus niaga


EMAS logam berharga menjadi simbol kepada kekuasaan, kemewahan dan kecantikan. Bersandarkan kepada faktor itu, emas amat berharga di dunia, mempunyai nilai paling kukuh meskipun berdepan dengan apa juga situasi termasuk krisis ekonomi.

Dalam al-Quran menyebut emas kekal sebagai sesuatu yang dinisbahkan sebagai simbol kejayaan dan kemewahan di akhirat nanti. Firman Allah SWT, bermaksud, "Sesungguhnya Allah SWT akan memasukkan orang yang beriman dan beramal salih ke syurga yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka dihiaskan di situ dengan gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ daripada sutera." (Al-Hajj: 23)


Sejarah menunjukkan emas diguna pakai sebagai alat pertukaran dalam perdagangan. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, emas digunakan kerajaan Rom Byzantine dan pada zaman awal kedatangan Islam, syiling daripada kerajaan Rom dan Parsi juga digunakan secara meluas orang Islam.

Emas dan perak dijadikan sebagai ukuran kepada unit timbangan kepada harga dan upah. Sistem barter atau pertukaran barang dengan barang adalah tidak digalakkan seperti dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya, "Bahawa Rasulullah mengutus saudara Bani Adi Al-Anshari sebagai wakil beliau di Khaibar. Kemudian ia datang membawa kurma janib (kurma bermutu baik).

Rasulullah bertanya kepadanya: "Apakah semua kurma Khaibar seperti ini? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, kami membeli satu sha`kurma ini dengan dua sha` kurma yang kurang baik mutunya. Rasulullah bersabda: Janganlah kamu berbuat demikian. Tetapi tukarlah dengan yang sejenis, atau juallah ini (kurma yang kurang baik mutunya) lalu belilah kurma yang baik dengan wang penjualannya dan demikian juga dengan timbangan.

Demi keadilan, barangan yang hendak didagangkan adalah sebaiknya dijual terlebih dulu dan tidak ditukarkan secara terus dengan barangan lain. Dengan ini emas dan perak dijadikan perantara dalam sistem perdagangan Islam.

Hanya bertahun selepas kewafatan Rasulullah, orang Islam tidak lagi menggunakan syiling Rom dan Parsi apabila pada 77 Hijrah (696 Masihi) ketika zaman pemerintahan Khalifah Abul Walid Abd al-Malik ibn Marwan, emas pertama ditempa.

Gambaran manusia dan binatang yang ada pada syiling Rom dan Parsi digantikan dengan perkataan la ilaha ill' Allah. Syiling emas ini digunakan secara meluas di jajahan Islam sehingga keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pada masa ini perantara kepada perdagangan berubah daripada emas kepada wang kertas. Terpisahnya emas daripada sistem kewangan dunia bermula dengan berakhirnya sistem Bretton Woods. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah menandakan tamatnya era perdagangan dan sistem kewangan Islam yang adil dan jujur.

Lompang kewangan ditinggalkan itu sedikit demi sedikit mula diisi oleh sistem ekonomi kapitalis yang kejam dan zalim dengan riba dijadikan senjata untuk meruntuhkan struktur kewangan sedunia yang dibangunkan sekian lama.

Uniknya, emas tidak dimiliki oleh mana-mana negara, pertubuhan, parti politik, mahupun individu. Ia diterima dan diiktiraf di kalangan semua negara, agama dan bangsa sebagai sesuatu yang bernilai dan berharga.

Sifat emas itu sendiri yang sukar ditemui dan dihasilkan menjadikan ia amat sesuai dijadikan sandaran nilai bagi sesuatu. Justeru, ia sukar itu untuk dimanipulasi atau untuk tujuan spekulasi.

Ketika ini banyak kedengaran suara supaya diwujudkan kembali sistem kewangan berasaskan emas. Suara penentangan juga didengari daripada komuniti Islam sehinggakan Dr Umar Ibrahim Vadillo menfatwakan haram menggunakan wang kertas.

Walaupun tidak semua bersetuju dengan fatwa itu, ia tidak menafikan wang kertas ada masalah dari segi praktikal dan aplikasi, lebih-lebih lagi perkara yang sudah nyata haram iaitu riba, adalah pemangkin kepada sistem kewangan berasaskan wang kertas.

Sama ada masalah terbabit sudah cukup menjadi penyebab kepada pengharaman wang kertas perlu kepada kajian dan penelitian lebih lanjut dan mendalam. Apa yang nyata, emas sentiasa menjadi alternatif kepada sistem kewangan dunia masa kini.

Krisis ekonomi di Amerika Syarikat hari ini adalah petanda bahawa sistem kapitalis yang diagungkan oleh mereka selama ini adalah sistem yang pincang dan menyebabkan kemusnahan serius terhadap ekonomi.

Malangnya, itulah sistem yang cuba diserapkan oleh mereka ke dalam pemikiran seluruh masyarakat dunia sebagai satu sistem yang sempurna dan wajib diguna pakai. Mana-mana negara yang cuba keluar daripada sistem itu dianggap sebagai tidak mematuhi tatacara kewangan antarabangsa dan boleh dikenakan tindakan.

Penjajahan pemikiran bentuk baru seperti ini adalah penjajahan moden di dalam meneruskan tradisi imperealisme mereka, selain pelbagai penjajahan bentuk lain seperti hiburan, fesyen, gaya hidup, dan lain-lain.

Oleh itu, adalah amat penting bagi umat Islam untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan pemikiran seperti ini supaya erti kemerdekaan sebenar mampu dikecapi, bukan sekadar meraikan kemerdekaan dengan menunggu detik 12 malam sambil dijamu dengan pelbagai bentuk hiburan yang juga diimport daripada kuasa mereka.

Saturday, 17 January 2009

JOM RAMAI-RAMAI SIMPAN EMAS!!!!

JOM RAMAI-RAMAI SIMPAN EMAS!!!!

MEMBELI emas untuk penyimpanan kedengaran sedikit janggal kerana ramai beranggapan logam kuning keemasan itu lebih terserlah kemewahan dan ketinggian mutunya apabila dipamerkan sebagai perhiasan diri.

Bagaimanapun, kemelut ekonomi yang melanda dunia menyebabkan ramai mula sedar mengenai kepentingan membeli emas untuk dijadikan aset pelaburan.
Pemangkin terhadap minat serta trend yang semakin berkembang itu adalah fungsi komoditi itu sebagai penyimpan nilai kalis inflasi dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika ini.

Mengapa melabur emas? Jawapannya sangat mudah. Melabur emas bukan sekadar mendapatkan keuntungan ke atas modal tapi juga melindungi nilai aset daripada inflasi dan deflasi.

Presiden Etika Emas Estet Berhad, Mohd Amin Supian, berkata emas adalah logam berharga yang sentiasa disebut di dalam Tamadun Islam dan peradaban dunia.

erkataan emas atau 'gold' berasal daripada perkataan Indo-Eropah iaitu kuning yang merujuk kepada logam yang menonjol sifatnya.

"Seistimewa rupa dan nilainya, emas juga bersifat kekal. Selain melambangkan ketulenan, bernilai tinggi, kedaulatan dan simbol status, emas juga menjadi lambang kemewahan kepada individu atau sesebuah negara yang memilikinya," katanya.

Pada 2003, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah melihat kebaikan dinar emas sebagai mata wang seragam dan tetap nilai seperti diperkenalkan ketika zaman Rasulullah SAW.

"Sayangnya ketika itu idea Tun Dr Mahathir agak sukar untuk diterima, dipandang remeh serta dilihat sebagai saingan dan seakan hendak meniru euro dolar Eropah," katanya.

Bertitik tolak daripada kesedaran mengenai kepentingan menyimpan emas, Mohd Amin dan kumpulannya mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti membeli dan menjual emas fizikal 24 karat dengan kualiti 999.9 atau 99.9% tulen.

Sebagai jaminan, setiap pelanggan yang membeli dan menyimpan emas di Etika Emas ditawarkan emas fizikal iaitu emas sebenar yang boleh dilihat, dipegang dan disimpan sebelum dicagarkan di skim Ar-Rahnu ditawarkan Bank Rakyat.

Selain itu, Etika Emas yang ditubuhkan dua tahun lalu itu juga turut menawarkan khidmat perundingan kepada pelanggan mengenai cara mengurus aset emas dengan bijak selain koperasi bagi menguruskan sendiri skim pajak gadai emas berlandaskan Syariah atau Ar-Rahnu dengan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Kata Mohd Amin, selepas mengetahui kehebatan penyimpanan emas, dia melakukan banyak penyelidikan dan pembacaan malah turut berkongsi pengetahuan mengenai penyimpanan emas daripada rakan-rakan yang sudah lama membeli dan menyimpan emas fizikal sebagai pelaburan.

"Perbezaan antara menyimpan emas fizikal dan emas yang sudah siap diproses (barang kemas, syiling emas) adalah dari sudut keuntungan kerana pembelian jongkong emas membolehkan kita mendapat keuntungan bersih.

"Emas yang dibeli dalam bentuk barangan kemas atau syiling emas dijual pada kadar 40 peratus tinggi daripada jongkong emas iaitu membabitkan kos buruh. Justeru, jika anda berminat untuk menyimpan emas, jongkong emas lebih digalakkan kerana untung bersih yang dimiliki jika ia dijual lebih tinggi," katanya.

Seperti dikatakan Mohd Amin, menyimpan jongkong emas sebagai aset pelaburan juga menggunakan kaedah yang sama seperti jual beli saham dan jual beli mata wang (tidak dibenarkan Bank Negara Malaysia).

Katanya, pemilik emas mempunyai pilihan sama ada menyimpan sendiri emas milik mereka atau menyimpannya di peti simpanan bank. Jika mereka inginkan wang di saat memerlukan, simpanan emas fizikal berkenaan boleh dijual tapi nilainya akan susut antara 15 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.

"Sebagai alternatif, mereka boleh mendapatkan pinjaman atau modal pusingan pada kadar 50 hingga 65 peratus dengan mencagarkan emas yang dimiliki di pajak gadai konvensional atau pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

"Emas yang dicagar boleh ditebus atau diambil kembali dengan menunjukkan surat pajakan, kad pengenalan, membayar jumlah prinsipal pinjaman dan upah simpan (Ar-Rahnu) atau faedah (pajak gadai konvensional)," katanya.

Bagaimanapun, bagi melunaskan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang Muslim, Mohd Amin menyimpan impian menjadikan penubuhan Etika Emas sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang ramai dan umat Islam khususnya.

"Koperasi Etika Emas ditubuhkan bagi membantu orang ramai mendapatkan manfaat daripada program simpanan dan pembelian emas yang dijalankan, seterusnya kita ingin melihat pajak gadai Islam Ar-Rahnu dibuka di seluruh negara.

"Etika Emas juga ingin melihat pemilikan emas di kalangan golongan muda kerana kami sedar pemilikan emas walaupun di dalam jumlah yang sedikit sebenarnya dapat membantu perkembangan tamadun dan ummah melalui kadar zakat 2.5 peratus setahun yang dikenakan," katanya.

Katanya, nilai emas yang tidak menyusut menyebabkan simpanan jongkong emas mendatangkan keuntungan terutama ketika gelora ekonomi melanda dan Mohd Amin juga menyarankan orang ramai supaya membuat simpanan emas fizikal sebagai jaminan masa depan.

"Nilai emas tidak menyusut tapi jika anda perhatikan nilai mata wang mudah mengalami kejatuhan. Tidak keterlaluan dikatakan, di saat negara bergolak mata wang tidak menjanjikan jaminan kesenangan atau pengaruh.

"Jadikan sayap juruterbang yang diperbuat daripada emas sebagai contoh, jika mereka terhempas dan masih selamat, pin emas itu akan menjadi penyelamat kerana nilai emas dijamin nilainya walau di kalangan Orang Asli," katanya.

Selepas dua tahun ditubuhkan, Etika Emas kini berbangga kerana mempunyai 2,600 pelanggan yang membeli dan menyimpan emas fizikal melalui program ditawarkan dan 600,000 keping dinar emas terjual dengan jumlah simpanan emas fizikal sebanyak 1.6 tan.

"Tahun ini kami mensasarkan lebih ramai penyimpan emas termasuk perseorangan daripada luar negara dengan pertambahan simpanan emas lebih daripada 45 tan. Tapi kami akan pastikan simpanan emas dibuat di dalam negara bertujuan untuk meningkatkan simpanan emas di dalam negara," katanya.

Berbeza antara pembelian emas dari Etika Emas dan kedai emas biasa adalah setiap hadiah (pengurangan harga) diberikan di dalam bentuk tunai setiap bulan iaitu pada kadar 30 peratus daripada 100 gram emas yang dibeli selama enam bulan.

"Selain program pembelian satu jongkong emas, kami juga menawarkan program dua iaitu beli satu dan dipinjamkan satu jongkong daripada Etika Emas ke dalam akaun simpanan untuk menggalakkan mereka membuat tambahan simpanan emas apabila tempoh gadaian pertama tamat.

"Tapi jika harga emas dunia meningkat, mereka boleh membuat pilihan sama ada hendak menjual atau terus menyimpan jongkong emas yang dimiliki bergantung kepada keperluan," katanya.

Info

  • Jongkong emas dijual Etika Emas adalah di dalam kiraan berat 20 kg, 50 kg, 100 kg, 500 kg, 1 kg dan paling berat adalah 12.5 kg.

  • Nilai berat setiap jongkong berkenaan dibuat berdasarkan harga pasaran antarabangsa dan boleh di rujuk melalui laman web www.kitco.com atau www.wgc.com.

  • Pasaran London menawarkan penjualan segera dan penjualan akan datang untuk emas. Ia ditetapkan oleh Geng Lima yang mewakili pengedar emas serta bank terpengaruh dunia. Geng Lima terdiri daripada ketuanya, N M Rothschild, Societte General, Hongkong Shanghai Bank (HSBC), Scotia Mocatta dan Deutsche Bank.

  • Nilai jual Kijang emas yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (31 Disember 2008) adalah RM3,200 untuk berat 31.10 g (1oz), RM1,630 (15.55 g) dan RM830 (7.775 g).

  • Pelaburan emas terbahagi kepada empat iaitu pelaburan barang kemas, syiling emas, jongkong emas dan dinar emas.



    Fakta

  • Ahli kimia tidak pernah berjaya menghasilkan emas tiruan kerana sifat logam berkenaan sukar ditiru.

  • Sifat emas tulen adalah lembut paling boleh ditempa dan dibentuk.

  • Emas asli boleh disahkan tulen melalui dua cara mudah iaitu apabila digigit, ia meninggalkan kesan lekuk gigi, kedua apabila dibakar atau dicairkan, ia tidak berubah warna.


  • **KUMPUL EMAS BOLEH, TP JANGAN LUPE KELUARKAN ZAKAT!!!!!!