Saturday 17 January 2009

ROKOK~ANTARA KENIKMATAN MAHUPUN KESIHATAN

ROKOK~ANTARA KENIKMATAN MAHUPUN KESIHATAN

Setiap hari kita diperdengarkan dengan bahaya rokok. Akan tetapi bilangan perokok tetap meningkat. Kenapa masalah ini masih tidak dapat diatasi??

Mungkin bagi orang yang tidak merokok, rokok merupakan pembunuh tetapi apa pula pendapat bagi orang yang merokok. Jadi disini, saya harap sesiapa sahaja samada perokok ataupun tidak, boleh memberikan pendapat mengenai rokok...

Ini adalah artikel yang diambil daripada berita harian. Harap kita dapat mengambil ikhtibar dari artikel ini.

10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Ramai mahu berhenti merokok gagal melakukannya

ROKOK memang diketahui penyebab kepada pelbagai komplikasi kesihatan. Namun, ancaman penyakit 'gagal' menakutkan perokok supaya berhenti merokok.

Secara saintifiknya, apabila perokok menyedut asap daripada rokok, nikotin sampai ke otak dalam tempoh beberapa saat dan melekat pada reseptor nikotin dalam otak. Ia kemudian mengaktifkan laluan ke litar otak, sekali gus menstimulasi rasa seronok di tengah otak.


Bagaimanapun, kesan keseronokan itu hanya seketika menyebabkan perokok bergantung kepada nikotin dan menjadi terbiasa dengan satu tahap nikotin dalam sistem tubuh. Jika tahap nikotin itu merosot, perokok akan berasa sangat sengsara dan gelisah.


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perokok tahu mengenai risiko kesihatan yang dikaitkan dengan tabiat merokok. Malah, dalam kajian WHO, ramai perokok mahu berhenti merokok, tetapi kebanyakan mereka kembali merokok kerana ketagih pada nikotin.

Ketagihan itu sangat kronik dan boleh disamakan dengan senario relaps (kembali menyerang) dalam situasi perubatan.

Pengurus Hal Ehwal Perubatan Pfizer, Dr Vicknesh Wellupilai mengakui senario itu kerana nikotin sifatnya mudah merentasi halangan antara darah dan otak dengan hanya satu hembusan dan kemudian mempengaruhi rangkaian fungsi biologi.


“Memang faktor tarikan itu menjadikan perokok menghadapi kesukaran untuk berhenti merokok. Kajian menunjukkan tujuh peratus perokok yang cuba berhenti merokok hanya mampu bertahan untuk beberapa tahun selepas itu. Malah, kebanyakan mereka kembali merokok dalam beberapa hari selepas mula berhenti merokok,” katanya.

Justeru, tidak hairan kajian mendapati komplikasi akibat merokok adalah punca kematian 10,000 rakyat Malaysia setiap tahun. Jika dipecahkan mengikut etnik menunjukkan 55.6 peratus membabitkan orang Melayu, Cina (34 peratus) dan India (33 peratus).

Angka itu tidak begitu menghairankan kerana pada 2002, WHO pernah menyifatkan Malaysia sebagai negara yang mempromosikan merokok secara tidak langsung. Ini berikutan statistik 1997 yang memperlihatkan pengiklanan jenama rokok mencecah hingga AS$90 juta manakala pada 2000, dua firma rokok saja mengeluarkan kos pengiklanan mencecah AS$40 juta.

Senario itu bagaimanapun bukan hanya terhad di Malaysia. Di Amerika, di sebalik angka 438,000 kematian setahun menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang berpunca daripada rokok, sebuah firma rokok terbesar di sana membelanjakan lebih dari AS$3 bilion pada 1996 untuk pengiklanan saja.

Lebih hebat, iklan rokok kerap kali dikaitkan dengan tarikan seksual, kejayaan dan kehidupan moden yang sofistikated.

Sejak penyekatan iklan rokok di media massa dan cetak selain harganya yang dinaikkan, ramai yang berhasrat untuk berhenti merokok. Ini ditambah dengan evolusi dalam rawatan berhenti merokok seperti terapi gantian nikotin, sama ada gam atau tampalan.

“Ramai yang ingin berhenti merokok tetapi tidak tahu untuk memulakannya. Justeru, Pfizer melancarkan kempen iaitu “Saya berikrar tidak merokok” bagi memberi peluang kepada perokok yang selalu ingin berhenti tetapi tidak pasti bagaimana caranya,”katanya.

Dr Wellupilai berkata, ikrar yang boleh dihantar melalui laman web, quittingchamp.com.my bukan satu perjanjian untuk berhenti merokok tetapi hanya satu langkah pertama berbentuk dorongan kepada perokok untuk berhenti merokok.


Rakyat Malaysia belanja RM15j sehari untuk rokok


WALAUPUN penggunaan tembakau di negara maju sudah berkurangan, keadaan sebaliknya berlaku di negara membangun. Contoh di Malaysia apabila statistik menunjukkan ketagihan merokok di kalangan rakyatnya yang berumur 15 tahun dan ke atas terus meningkat daripada 21 peratus pada 1985 kepada 31 peratus pada 2000.

Persatuan Perubatan Malaysia bertajuk “Action on Smoking and Health” melaporkan terdapat kira-kira 3.5 juta perokok di negara ini. Separuh daripada mereka menghisap rokok hampir 10 batang sehari.

Laporan itu juga menganggarkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM15 juta sehari untuk rokok dan dalam masa setahun, mencecah sehingga RM6 bilion.

Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok sendiri, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia.


Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan merokok dan penagihan tembakau yang lain bertanggungjawab terhadap satu kematian dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia - kira-kira 5 juta kematian setahun.

Selain memberi kesan kepada kesihatan perokok individu, tabiat merokok juga boleh memberi kesan negatif kepada generasi akan datang. Antara contoh yang perlu diberi perhatian adalah seperti di bawah

  • Satu kajian yang dijalankan di kalangan 5,000 lelaki Cina menunjukkan bahawa 60 peratus daripada mereka yang merokok lebih daripada sekotak sehari berkemungkinan mengalami disfungsi ereksi atau ‘mati pucuk’ berbanding mereka yang tidak pernah merokok.

  • Wanita yang merokok lebih berkemungkinan mengalami kesukaran untuk mengandung, komplikasi ketika hamil dan risiko keguguran yang lebih tinggi.

  • Satu kajian dijalankan di Pusat Biologi Perinatal di California menemui bukti bahawa wanita yang terus merokok ketika hamil memberi kesan negatif pada jantung janin.

  • Menurut kajian yang dijalankan di Finland mendapati asap daripada rokok boleh merosakkan fungsi arteri kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam jurnal Persatuan Jantung Amerika, Circulation, membabitkan 400 kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun. Selain itu, asap daripada rokok juga menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan dan masalah telinga. Serangan penyakit itu lebih teruk dan kerap di kalangan kanak-kanak yang menghidap asma.

    Semua ini menunjukkan kesan rokok bukan terbatas kepada generasi semasa, tetapi harus ditanggung oleh generasi yang akan datang. Malah, WHO menganggarkan bahawa ketagihan tembakau akan membunuh kira-kira 10 juta orang setahun menjelang 2020, dengan 70 peratus kematian berlaku di negara membangun.

    Sungguhpun pelbagai usaha dilakukan di seluruh negara oleh kerajaan dan pakar penjagaan kesihatan profesional, ketagihan tembakau (sebahagian besarnya dalam bentuk rokok) di negara ini tetap pada angka yang membimbangkan.

    Memang tidak dapat dinafikan amat sukar bagi kebanyakan orang untuk berhenti merokok kerana ia bukan ketagihan fizikal semata-mata. Walaupun nikotin adalah punca utama ketagihan rokok, tabiat menghisap rokok juga satu ritual atau amalan psikologi dan emosi bagi kebanyakan perokok.

    Namun, ada cara yang berkesan untuk membantu perokok menghentikan tabiat merokok. Ia dengan menggabungkan rawatan seperti terapi penggantian nikotin (NRT)dan perubahan gaya hidup. Apa yang utama kesungguhan dan keazaman untuk berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut mengenai usaha menghentikan tabiat merokok, sila ke laman.



  • 3 comments: