Sunday 18 January 2009

Sistem kewangan berasas emas lebih adil, jujur

Nilai logam sukar dimanipulasi, spekulasi sesuai dengan Islam mahu keadilan dalam urus niaga


EMAS logam berharga menjadi simbol kepada kekuasaan, kemewahan dan kecantikan. Bersandarkan kepada faktor itu, emas amat berharga di dunia, mempunyai nilai paling kukuh meskipun berdepan dengan apa juga situasi termasuk krisis ekonomi.

Dalam al-Quran menyebut emas kekal sebagai sesuatu yang dinisbahkan sebagai simbol kejayaan dan kemewahan di akhirat nanti. Firman Allah SWT, bermaksud, "Sesungguhnya Allah SWT akan memasukkan orang yang beriman dan beramal salih ke syurga yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka dihiaskan di situ dengan gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ daripada sutera." (Al-Hajj: 23)


Sejarah menunjukkan emas diguna pakai sebagai alat pertukaran dalam perdagangan. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, emas digunakan kerajaan Rom Byzantine dan pada zaman awal kedatangan Islam, syiling daripada kerajaan Rom dan Parsi juga digunakan secara meluas orang Islam.

Emas dan perak dijadikan sebagai ukuran kepada unit timbangan kepada harga dan upah. Sistem barter atau pertukaran barang dengan barang adalah tidak digalakkan seperti dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya, "Bahawa Rasulullah mengutus saudara Bani Adi Al-Anshari sebagai wakil beliau di Khaibar. Kemudian ia datang membawa kurma janib (kurma bermutu baik).

Rasulullah bertanya kepadanya: "Apakah semua kurma Khaibar seperti ini? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, kami membeli satu sha`kurma ini dengan dua sha` kurma yang kurang baik mutunya. Rasulullah bersabda: Janganlah kamu berbuat demikian. Tetapi tukarlah dengan yang sejenis, atau juallah ini (kurma yang kurang baik mutunya) lalu belilah kurma yang baik dengan wang penjualannya dan demikian juga dengan timbangan.

Demi keadilan, barangan yang hendak didagangkan adalah sebaiknya dijual terlebih dulu dan tidak ditukarkan secara terus dengan barangan lain. Dengan ini emas dan perak dijadikan perantara dalam sistem perdagangan Islam.

Hanya bertahun selepas kewafatan Rasulullah, orang Islam tidak lagi menggunakan syiling Rom dan Parsi apabila pada 77 Hijrah (696 Masihi) ketika zaman pemerintahan Khalifah Abul Walid Abd al-Malik ibn Marwan, emas pertama ditempa.

Gambaran manusia dan binatang yang ada pada syiling Rom dan Parsi digantikan dengan perkataan la ilaha ill' Allah. Syiling emas ini digunakan secara meluas di jajahan Islam sehingga keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pada masa ini perantara kepada perdagangan berubah daripada emas kepada wang kertas. Terpisahnya emas daripada sistem kewangan dunia bermula dengan berakhirnya sistem Bretton Woods. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah menandakan tamatnya era perdagangan dan sistem kewangan Islam yang adil dan jujur.

Lompang kewangan ditinggalkan itu sedikit demi sedikit mula diisi oleh sistem ekonomi kapitalis yang kejam dan zalim dengan riba dijadikan senjata untuk meruntuhkan struktur kewangan sedunia yang dibangunkan sekian lama.

Uniknya, emas tidak dimiliki oleh mana-mana negara, pertubuhan, parti politik, mahupun individu. Ia diterima dan diiktiraf di kalangan semua negara, agama dan bangsa sebagai sesuatu yang bernilai dan berharga.

Sifat emas itu sendiri yang sukar ditemui dan dihasilkan menjadikan ia amat sesuai dijadikan sandaran nilai bagi sesuatu. Justeru, ia sukar itu untuk dimanipulasi atau untuk tujuan spekulasi.

Ketika ini banyak kedengaran suara supaya diwujudkan kembali sistem kewangan berasaskan emas. Suara penentangan juga didengari daripada komuniti Islam sehinggakan Dr Umar Ibrahim Vadillo menfatwakan haram menggunakan wang kertas.

Walaupun tidak semua bersetuju dengan fatwa itu, ia tidak menafikan wang kertas ada masalah dari segi praktikal dan aplikasi, lebih-lebih lagi perkara yang sudah nyata haram iaitu riba, adalah pemangkin kepada sistem kewangan berasaskan wang kertas.

Sama ada masalah terbabit sudah cukup menjadi penyebab kepada pengharaman wang kertas perlu kepada kajian dan penelitian lebih lanjut dan mendalam. Apa yang nyata, emas sentiasa menjadi alternatif kepada sistem kewangan dunia masa kini.

Krisis ekonomi di Amerika Syarikat hari ini adalah petanda bahawa sistem kapitalis yang diagungkan oleh mereka selama ini adalah sistem yang pincang dan menyebabkan kemusnahan serius terhadap ekonomi.

Malangnya, itulah sistem yang cuba diserapkan oleh mereka ke dalam pemikiran seluruh masyarakat dunia sebagai satu sistem yang sempurna dan wajib diguna pakai. Mana-mana negara yang cuba keluar daripada sistem itu dianggap sebagai tidak mematuhi tatacara kewangan antarabangsa dan boleh dikenakan tindakan.

Penjajahan pemikiran bentuk baru seperti ini adalah penjajahan moden di dalam meneruskan tradisi imperealisme mereka, selain pelbagai penjajahan bentuk lain seperti hiburan, fesyen, gaya hidup, dan lain-lain.

Oleh itu, adalah amat penting bagi umat Islam untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan pemikiran seperti ini supaya erti kemerdekaan sebenar mampu dikecapi, bukan sekadar meraikan kemerdekaan dengan menunggu detik 12 malam sambil dijamu dengan pelbagai bentuk hiburan yang juga diimport daripada kuasa mereka.

No comments:

Post a Comment